Sunday, January 25, 2009

Happy Chinese New Year!!


Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. Ucapan khusus buat sahabat-sahabat B&K iaitu Lily, Fam, Khor, Mok dan kakak-kakak dan abang PKPG yang berbangsa Cina (Jangan lupa bagi ang pau yer...hehe!!) Semoga perayaan ini akan membawa kebahagiaan dan kemakmuran kepada anda semua. Dan semoga ikatan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama ini akan terus utuh walaupun terpaksa merentas pelbagai onak duri dalam kehidupan kini. Mari bersama-sama membina negara Malaysia yang terus maju dan bersatu-padu. All the best!!! (^.~)v

Mencari Arah...


Tadi semasa saya berjalan di pekan Tanjong Malim, saya terserempak dengan adik-adik yang pernah mengikuti program motivasi di KAB. Mereka masih mengingati saya kerana saya menjadi kakak fasi untuk kumpulan mereka. Hehe!! Tq adik, tapi sorry akak pula yang terlupa nama adik-adik semua sebab dah lama program berlalu. Mereka telah tamat persekolahan, sedang menunggu keputusan SPM dan sementara itu mereka bekerja di kedai-kedai pakaian yang banyak terdapat d pekan TM ni. Sempat jugalah saya beramah mesra dengan mereka. Sampai saja topik melanjutkan pelajaran, masing-masing hanya tersenyum..."Tak tahu la kak..." itulah jawapan mereka.


Saya sebenarnya kasihan kepada mereka. Malah kepada semua remaja lepasan sekolah yang masih kabur dengan perjalanan masa depan masing-masing. Mereka masih tidak nampak kemampuan, potensi dan minat yang ada dalam diri mereka untuk memilih cabang ilmu yang sesuai dengan diri mereka. Lebih menyedihkan apabila mereka ini tergolong dalam kumpulan 'kelas hujung' yang mungkin tidak terlalu diberikan tumpuan dan perhatian semasa berada di sekolah dahulu. Pelajar nakal ini tidaklah terlalu jahat sebenarnya, mereka hanya memerlukan perhatian dan bimbingan daripada kita. Saya merasai sendiri pengalaman itu semasa berada dalam kelompok remaja ini. Mereka yang dikategorikan sebagai high-risk sebenarnya dapat dibentuk dan dididik menjadi seperti remaja lain sekiranya kaedah dan pendekatan yang digunakan kena pada tempatnya. Buktinya, mereka masih mengenali, menyapa dan menghormati saya ketika berjumpa.


Walaupun mungkin mereka tidak secemerlang pelajar lain dalam aspek akademik, namun tidak bermakna mereka tidak boleh berjaya dalam bidang lain. Masih banyak peluang pelajaran dan pekerjaan dalam aspek kemahiran yang dapat diterokai oleh mereka. Kalaulah mereka mendapat pendedahan yang secukupnya mengenai peluang pendidikan dan kerjaya ini, pasti ramai remaja negara kita tidak akan terkandas. Kita sebenarnya rugi kerana melepaskan mereka sedangkan tenaga dan idea mereka sangat diperlukan untuk membangunkan negara.

Saturday, January 24, 2009

SEKADAR RENUNGAN



Harta akan habis digunakan tanpa ilmu sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

Hadiah Terbaik :
Kepada kawan - Kesetiaan
Kepada musuh - Kemaafan
Kepada ketua - Khidmat
Kepada yang muda - Contoh terbaik
Kepada yang tua - Hargai budi
mereka dan kesetiaan
Kepada pasangan - Cinta dan
ketaatan
Kepada manusia - Kebebasan





MAPIN V di Kuala Sepetang...(^.^)v

Semasa cuti semester yang lepas, saya telah mengikuti program Mahasiswa Penggerak Intelek (MAPIN V) yang diadakan di Kampung Menteri, Kuala Sepetang. Program anjuran kolej ini berbentuk bakti siswa di mana setiap peserta ditempatkan di rumah keluarga angkat masing-masing. Saya bersama rakan, Nida, turut mendapat keluarga angkat. Best sangat! Anjang (panggilan untuk ibu angkat saya), abang Mat Shah (abang angkat) dan pakcik (bapa saudara angkat) betul-betul menjaga kebajikan dan keselesaan kami. Terima kasih Anjang, pakcik, dan abang Mat Shah. Kuala Sepetang yang terkenal dengan mee udang dan kerang ni memang meninggalkan nostalgia yang tersendiri. Macam-macam aktiviti yang kami lakukan bersama penduduk kampung seperti gotong royong, tayangan wayang pacak, senamrobik, sukan trendysional (gabungan moden dan tradisional), lawatan ke kilang arang, menaiki bot nelayan, dan macam-macam lagi. Sambutan penduduk kampung juga sangat menggalakkan, terutamanya kanak-kanak yang begitu teruja kerana mendapat kakak dan abang angkat.


Antara aktiviti yang paling best adalah menaiki bot nelayan dan dibawa ke sepanjang kuala menuju ke laut. Maklumlah, ini merupakan kali pertama saya menaiki bot nelayan. Rasa teruja melebihi segala-galanya. Nasib baik tak mabuk laut. Hehe! Sepanjang menaiki bot, kami ditunjukkan kaedah ‘menjala’ kerang (kalau istilah menjala itu tepat la), bertemu dengan nelayan yang botnya penuh dengan udang dan kerang, dan tengok rumah persinggahan yang terapung. Masing-masing sangat excited, kamera jangan cakap la...asyik tangkap sana sini. Selain itu, aktiviti yang best adalah sukan trendysional...saya memasuki dua acara dan bergabung dengan penduduk kampung iaitu acara kopek kulit kerang dan lari dalam guni. Kelakar sangat bila teringat balik acara kopek kulit kerang tu, bayangkan kami daripada UPSI ini terpaksa berlawan dengan penduduk kampung yang sememangnya dah teror dalam bab kopek kulit kerang ni. Sedangkan kami masih terkial-kial nak mengopek. Nasib baik kami boleh bergabung dengan beberapa orang penduduk kampung dalam satu kumpulan, so tak la ketinggalan sangat. Dalam tak reti nak mengopek kulit kerang tu, kumpulan saya menang juga tempat kedua daripada enam kumpulan. Walaupun kuku saya agak rosak selepas itu, tapi kepuasan tetap bertandang di hati kerana mendapat pengalaman yang sangat menyeronokkan. Selepas itu, saya masuk pula acara lari dalam guni, best dan mencabar sebab acara berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan kilat pun sabung-menyambung. Saya sangat bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian buruk semasa hari tersebut kerana hujan benar-benar lebat dan kilat kelihatan dengan jelas. Berbalik kepada cerita saya, kumpulan saya telah mendapat tempat pertama dalam acara lari dalam guni ini. Hehe!! Agak sukar berlari sebenarnya kerana keadaan padang yang becak dan tidak sekata.

Seronok bila dapat bergaul dengan penduduk kampung yang menganggap kami sebagai anak sendiri. Kenyang perut kami sepanjang berada di sana kerana dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat seperti kerang rebus, meehun goreng (yang mempunyai banyak udang di dalamnya), mee udang, laksa dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kepada Maksu An yang bersemangat mengajar kami aerobiknya. Beliau jugalah yang bersemangat merebus kerang untuk kami. Terima kasih Maksu An! Terima kasih Anjang! Terima kasih juga kepada semua penduduk Kampung Menteri, Kuala Sepetang!

Sunday, January 18, 2009

…wanna be stronger…


Wanna be stronger…suatu ungkapan yang sering saya teguhkan dalam hati saat saya berhadapan dengan dugaan-dugaan dalam kehidupan ini. Bukan bermaksud saya lupa untuk mengungkapkan kalimah-kalimah Allah S.W.T, tetapi ungkapan tersebut sering menjadi trademark saya tatkala melayari internet ataupun YM. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya bahawa Allah S.W.T akan sentiasa menguji hamba-hambanya dalam pelbagai bentuk dan situasi untuk mengukur sejauh mana keutuhan iman mereka. Dan saya sering terfikir, adakah saya mampu untuk terus kuat menghadapi dugaan-Nya? Maka dari situlah lahirnya ungkapan yang lahir dari sudut hati saya... SAYA MAHU MENJADI LEBIH KUAT... Kuat bukan dari segi fizikal tetapi lebih kepada kekuatan dalaman iaitu kekuatan mental dan emosi. Mencari kekuatan dalaman bukanlah sesuatu yang senang bagi diri saya. Bukan seperti berlari mengelilingi padang ataupun merentasi hutan belantara... Bila mana dugaan kadang kala datang bertimpa-timpa dan ianya menjadi lebih menyesakkan dada apabila perkara tersebut dipendam seorang diri membuatkan seolah-olah saya hilang punca. Memotivasikan diri sendiri tidak semudah berkata-kata kerana kita lebih mengetahui tentang diri kita sendiri, tahu apa kekuatan dan kelemahan diri sendiri, tahu sejauh mana kita boleh pergi dan tahu pula apakah limitasi yang masih tersembunyi. Tetapi saya tetap mencuba. Cuba untuk terus menjadi diri sendiri tanpa hilang punca, menjadi lebih kuat dari biasa, dan mungkin juga boleh dikatakan kalis air mata...

Mujurlah ilmu yang saya perolehi sepanjang mendalami bidang bimbingan dan kaunseling ini banyak membantu membentuk diri saya yang lebih positif. Lebih positif dalam melihat diri sendiri, orang lain, dunia ini (walaupun kini dunia dipenuhi dengan ketidakadilan), dan juga sudah tentu dugaan-dugaan daripada Yang Maha Pencipta. Saya sentiasa bersyukur kerana mengenangkan bahawa saya merupakan antara insan yang bertuah kerana berpeluang mengenali bidang bimbingan dan kaunseling. Saya sukakan perhubungan menolong...tapi sebelum saya boleh menolong orang lain, saya perlu menolong diri saya dahulu. Perkara inilah yang saya nyatakan kepada diri saya sendiri saat saya tekad untuk menyambung pengajian saya dalam bidang kaunseling. Dan ada kebenarannya... saya merasai sendiri transformasi diri saya. Daripada seorang yang pasif, penakut, pemarah dan pelbagai lagi sifat negatif yang bersarang dalam diri ini... kini saya boleh dikatakan menarik nafas lega kerana banyak perkara yang telah saya cuba perbaiki, walaupun masih tidak secara keseluruhan...namun saya percaya...transformasi adalah suatu proses... dan proses memerlukan suatu jangka waktu...

Catatan Pertama...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat datang ke blog saya, Ungu Lavender.. Sebenarnya saya masih dalam penerokaan untuk memahirkan diri lagi untuk menguruskan blog ini. Ini merupakan blog kedua saya selepas saya membuat satu lagi blog, iaitu di laman Friendster. Namun, blog pertama saya itu tidak lagi aktif atas alasan-alasan tertentu...huhu...Seronok juga bila dapat buat blog ini, terima kasih kepada En. Aziz Yatim kerana membuka jalan supaya kami membuat blog masing-masing.

Kenapa Ungu Lavender? Sebenarnya saya amat menyukai haruman lavender. Wangiannya sangat bersesuaian sebagai aroma terapi, mampu menenangkan kembali jiwa yang sering dihimpit tekanan. Dan warna ungunya juga amat menyejukkan mata yang memandang. Analoginya seperti si ungu lavender, kehidupan seorang kaunselor pada andaian saya seharusnya seperti mekarnya sekuntum lavender. Kaunselor perlu ada ‘aroma terapi’ yang tersendiri di mana dalam diri kaunselor itu mempunyai aura silaturrahim, harapan, rawatan, penyembuhan, sokongan, dan pelbagai lagi aura yang mampu membangkitkan motivasi insan. Hadirnya seorang kaunselor mampu menyejukkan hati insan yang sedang gundah dan bermasalah dengan pengaplikasian segala kemahiran asas kaunseling, teknik-teknik, teori dan proses yang mana ianya umpama wangian dalam kaunseling dan mampu menjadi aroma terapi untuk sesiapa jua.

Jadi, bermulanya di sini, saya cuma untuk berkongsi segala pendapat, pandangan, pengalaman, dan pengetahuan saya dalam meniti kehidupan sebagai bakal kaunselor kelak. Walaupun masih bertatih dan setahun jagung dalam dunia kaunseling yang sangat menarik untuk diterokai ini, namun saya mengharapkan agar perkongsian ini dapat memberikan sedikit input kepada anda sekalian. Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca.... (^.^)v