Saturday, January 24, 2009

MAPIN V di Kuala Sepetang...(^.^)v

Semasa cuti semester yang lepas, saya telah mengikuti program Mahasiswa Penggerak Intelek (MAPIN V) yang diadakan di Kampung Menteri, Kuala Sepetang. Program anjuran kolej ini berbentuk bakti siswa di mana setiap peserta ditempatkan di rumah keluarga angkat masing-masing. Saya bersama rakan, Nida, turut mendapat keluarga angkat. Best sangat! Anjang (panggilan untuk ibu angkat saya), abang Mat Shah (abang angkat) dan pakcik (bapa saudara angkat) betul-betul menjaga kebajikan dan keselesaan kami. Terima kasih Anjang, pakcik, dan abang Mat Shah. Kuala Sepetang yang terkenal dengan mee udang dan kerang ni memang meninggalkan nostalgia yang tersendiri. Macam-macam aktiviti yang kami lakukan bersama penduduk kampung seperti gotong royong, tayangan wayang pacak, senamrobik, sukan trendysional (gabungan moden dan tradisional), lawatan ke kilang arang, menaiki bot nelayan, dan macam-macam lagi. Sambutan penduduk kampung juga sangat menggalakkan, terutamanya kanak-kanak yang begitu teruja kerana mendapat kakak dan abang angkat.


Antara aktiviti yang paling best adalah menaiki bot nelayan dan dibawa ke sepanjang kuala menuju ke laut. Maklumlah, ini merupakan kali pertama saya menaiki bot nelayan. Rasa teruja melebihi segala-galanya. Nasib baik tak mabuk laut. Hehe! Sepanjang menaiki bot, kami ditunjukkan kaedah ‘menjala’ kerang (kalau istilah menjala itu tepat la), bertemu dengan nelayan yang botnya penuh dengan udang dan kerang, dan tengok rumah persinggahan yang terapung. Masing-masing sangat excited, kamera jangan cakap la...asyik tangkap sana sini. Selain itu, aktiviti yang best adalah sukan trendysional...saya memasuki dua acara dan bergabung dengan penduduk kampung iaitu acara kopek kulit kerang dan lari dalam guni. Kelakar sangat bila teringat balik acara kopek kulit kerang tu, bayangkan kami daripada UPSI ini terpaksa berlawan dengan penduduk kampung yang sememangnya dah teror dalam bab kopek kulit kerang ni. Sedangkan kami masih terkial-kial nak mengopek. Nasib baik kami boleh bergabung dengan beberapa orang penduduk kampung dalam satu kumpulan, so tak la ketinggalan sangat. Dalam tak reti nak mengopek kulit kerang tu, kumpulan saya menang juga tempat kedua daripada enam kumpulan. Walaupun kuku saya agak rosak selepas itu, tapi kepuasan tetap bertandang di hati kerana mendapat pengalaman yang sangat menyeronokkan. Selepas itu, saya masuk pula acara lari dalam guni, best dan mencabar sebab acara berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan kilat pun sabung-menyambung. Saya sangat bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian buruk semasa hari tersebut kerana hujan benar-benar lebat dan kilat kelihatan dengan jelas. Berbalik kepada cerita saya, kumpulan saya telah mendapat tempat pertama dalam acara lari dalam guni ini. Hehe!! Agak sukar berlari sebenarnya kerana keadaan padang yang becak dan tidak sekata.

Seronok bila dapat bergaul dengan penduduk kampung yang menganggap kami sebagai anak sendiri. Kenyang perut kami sepanjang berada di sana kerana dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat seperti kerang rebus, meehun goreng (yang mempunyai banyak udang di dalamnya), mee udang, laksa dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kepada Maksu An yang bersemangat mengajar kami aerobiknya. Beliau jugalah yang bersemangat merebus kerang untuk kami. Terima kasih Maksu An! Terima kasih Anjang! Terima kasih juga kepada semua penduduk Kampung Menteri, Kuala Sepetang!

No comments:

Post a Comment