Sunday, January 18, 2009

…wanna be stronger…


Wanna be stronger…suatu ungkapan yang sering saya teguhkan dalam hati saat saya berhadapan dengan dugaan-dugaan dalam kehidupan ini. Bukan bermaksud saya lupa untuk mengungkapkan kalimah-kalimah Allah S.W.T, tetapi ungkapan tersebut sering menjadi trademark saya tatkala melayari internet ataupun YM. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya bahawa Allah S.W.T akan sentiasa menguji hamba-hambanya dalam pelbagai bentuk dan situasi untuk mengukur sejauh mana keutuhan iman mereka. Dan saya sering terfikir, adakah saya mampu untuk terus kuat menghadapi dugaan-Nya? Maka dari situlah lahirnya ungkapan yang lahir dari sudut hati saya... SAYA MAHU MENJADI LEBIH KUAT... Kuat bukan dari segi fizikal tetapi lebih kepada kekuatan dalaman iaitu kekuatan mental dan emosi. Mencari kekuatan dalaman bukanlah sesuatu yang senang bagi diri saya. Bukan seperti berlari mengelilingi padang ataupun merentasi hutan belantara... Bila mana dugaan kadang kala datang bertimpa-timpa dan ianya menjadi lebih menyesakkan dada apabila perkara tersebut dipendam seorang diri membuatkan seolah-olah saya hilang punca. Memotivasikan diri sendiri tidak semudah berkata-kata kerana kita lebih mengetahui tentang diri kita sendiri, tahu apa kekuatan dan kelemahan diri sendiri, tahu sejauh mana kita boleh pergi dan tahu pula apakah limitasi yang masih tersembunyi. Tetapi saya tetap mencuba. Cuba untuk terus menjadi diri sendiri tanpa hilang punca, menjadi lebih kuat dari biasa, dan mungkin juga boleh dikatakan kalis air mata...

Mujurlah ilmu yang saya perolehi sepanjang mendalami bidang bimbingan dan kaunseling ini banyak membantu membentuk diri saya yang lebih positif. Lebih positif dalam melihat diri sendiri, orang lain, dunia ini (walaupun kini dunia dipenuhi dengan ketidakadilan), dan juga sudah tentu dugaan-dugaan daripada Yang Maha Pencipta. Saya sentiasa bersyukur kerana mengenangkan bahawa saya merupakan antara insan yang bertuah kerana berpeluang mengenali bidang bimbingan dan kaunseling. Saya sukakan perhubungan menolong...tapi sebelum saya boleh menolong orang lain, saya perlu menolong diri saya dahulu. Perkara inilah yang saya nyatakan kepada diri saya sendiri saat saya tekad untuk menyambung pengajian saya dalam bidang kaunseling. Dan ada kebenarannya... saya merasai sendiri transformasi diri saya. Daripada seorang yang pasif, penakut, pemarah dan pelbagai lagi sifat negatif yang bersarang dalam diri ini... kini saya boleh dikatakan menarik nafas lega kerana banyak perkara yang telah saya cuba perbaiki, walaupun masih tidak secara keseluruhan...namun saya percaya...transformasi adalah suatu proses... dan proses memerlukan suatu jangka waktu...

No comments:

Post a Comment