Sunday, January 25, 2009

Mencari Arah...


Tadi semasa saya berjalan di pekan Tanjong Malim, saya terserempak dengan adik-adik yang pernah mengikuti program motivasi di KAB. Mereka masih mengingati saya kerana saya menjadi kakak fasi untuk kumpulan mereka. Hehe!! Tq adik, tapi sorry akak pula yang terlupa nama adik-adik semua sebab dah lama program berlalu. Mereka telah tamat persekolahan, sedang menunggu keputusan SPM dan sementara itu mereka bekerja di kedai-kedai pakaian yang banyak terdapat d pekan TM ni. Sempat jugalah saya beramah mesra dengan mereka. Sampai saja topik melanjutkan pelajaran, masing-masing hanya tersenyum..."Tak tahu la kak..." itulah jawapan mereka.


Saya sebenarnya kasihan kepada mereka. Malah kepada semua remaja lepasan sekolah yang masih kabur dengan perjalanan masa depan masing-masing. Mereka masih tidak nampak kemampuan, potensi dan minat yang ada dalam diri mereka untuk memilih cabang ilmu yang sesuai dengan diri mereka. Lebih menyedihkan apabila mereka ini tergolong dalam kumpulan 'kelas hujung' yang mungkin tidak terlalu diberikan tumpuan dan perhatian semasa berada di sekolah dahulu. Pelajar nakal ini tidaklah terlalu jahat sebenarnya, mereka hanya memerlukan perhatian dan bimbingan daripada kita. Saya merasai sendiri pengalaman itu semasa berada dalam kelompok remaja ini. Mereka yang dikategorikan sebagai high-risk sebenarnya dapat dibentuk dan dididik menjadi seperti remaja lain sekiranya kaedah dan pendekatan yang digunakan kena pada tempatnya. Buktinya, mereka masih mengenali, menyapa dan menghormati saya ketika berjumpa.


Walaupun mungkin mereka tidak secemerlang pelajar lain dalam aspek akademik, namun tidak bermakna mereka tidak boleh berjaya dalam bidang lain. Masih banyak peluang pelajaran dan pekerjaan dalam aspek kemahiran yang dapat diterokai oleh mereka. Kalaulah mereka mendapat pendedahan yang secukupnya mengenai peluang pendidikan dan kerjaya ini, pasti ramai remaja negara kita tidak akan terkandas. Kita sebenarnya rugi kerana melepaskan mereka sedangkan tenaga dan idea mereka sangat diperlukan untuk membangunkan negara.

No comments:

Post a Comment